BUNGA KERING

Bunga-bunga di halaman mahupun yang di hutan, daun-daun serta paku pakis boleh dikumpulkan dan dikeringkan. Bunga-bunga kering ini boleh dijadikan kad ucapan, gambar dan kolaj yang berwarna warni dan menarik. Jika anda tergolong dalam kumpulan yang lebih ilmiah, anda boleh membuat koleksi botanikal yang mengandungi bunga-bunga kering yang dikelaskan dan disimpan di dalam album.

Di bawah ini diterangkan bebarapa perkara asas mengenai pengeringan bunga dan cara-cara mempersembahkannya.

Penekan Bunga Memetik Bunga  
Tempoh Pengeringan Menyimpan Bunga Kering Bahan-bahan untuk Mempersembahkan Bunga Kering
Melekatkan Bunga Tips Rekabentuk Kad Ucapan
Gambar Bunga Menyusun Bunga Untuk Dikeringkan Koleksi Botanikal

 

Tempoh Pengeringan

Untuk mendapatkan hasil yang terbaik, bunga yang telah dikeringkan di dalam alat pengering hendaklah dibiarkan tanpa diganggu sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga minggu. Untuk mempercepatkan tempoh pengeringan anda boleh cuba mengetatkan skru alat pengering bagi selang sehari.

Setelah bunga betul-betul kering ianya boleh dikeluarkan dari alat pengering dan disimpan di antara muka surat buku yang tebal (Direktori Telefon sesuai digunakan untuk tujuan ini) sehingga ianya digunakan. Bagi memudahkan anda mencari, pastikan anda menulis nama bunga dan muka surat di mana ianya disimpan pada muka hadapan buku berkenaan.

Anda hendaklah berhati-hati semasa memegang bunga yang telah kering kerana ia sangat mudah patah atau hancur. Sebelum melekatkan bunga kering, pastikan anda telah mempunyai semua alat-alat yang diperlukan. Alat-alat ini adalah; kertas tebal, gam pelbagai guna, berus lukisan untuk meratakan gam, sepasang tweezer untuk meletakkan bunga di posisi yang sesuai.

Rancangkan rekabentuk sebelum anda memulakan kerja, jika perlu buatkan lakaran kasar. Setelah itu letakkan bunga dan daun dengan cermat di tempat mengikut rekaan anda tanpa menggunakan gam. Setelah berpuashati dengan gubahan anda, barulah anda mula melekatkannya dengan gam satu persatu. Titikkan gam di bahagian bunga yang paling tebal dan ratakannya perlahan-lahan keseluruh bahagian bunga dengan menggunakan berus lukisan. Semasa meratakan gam, bunga hendaklah diletakkan di atas kertas atau kaca (seperti pinggan atau penutup pyrex casserole) supaya bunga tidak meletak dan mudah ditanggalkan.

Gambar tidak perlu dibuat dengan menggunakan keseluruhan bunga. Rekaan yang cantik dan menarik boleh dibuat dengan menggunakan kelopak bunga yang diasingkan untuk membentuk bentuk dan pola yang berbeza dari bunga yang asal. Kecualilah jika anda ingin membuat koleksi botanikal, tidak perlu untuk anda menggunakan kelopak bunga dan daun dari pokok yang sama - gabungan bunga dan daun yang berlainan pokok boleh memberikan hasil yang menarik. Jika warna bunga atau daun pudar setelah ditekan, anda boleh gunakan warna air (water colour) untuk mengembalikan warnanya.

Anda boleh membuat kad ucapan yang menarik dengan menggunakan bunga kering. Anda boleh gunakan kad berwarna putih atau kertas tebal yang boleh dibeli dengan mudah di kedai-kedai alat tulis.

Untuk membuat koleksi botanikal pula, bunga hendaklah dilekatkan di kepingan kad atau kertas secara berasingan. Nama, tempat asal dan maklumat mengenai bunga tersebut hendaklah ditulis dengan kemas di tepi setiap spesimen. Jika anda menggunakan kepingan kertas, bunga-bunga ini kemudiannya boleh disusun mengikut kategorinya apabila koleksi anda bertambah besar.

Membuat gambar bunga adalah projek yang paling mencabar. Bunga boleh dilekatkan di atas kertas atau kad putih atau berwarna. Kertas serap (blotting paper) atau pun kertas yang agak kasar permukaannya sangat sesuai digunakan. Setelah siap ianya boleh dipasangkan bingkai - sama ada anda menghantarnya ke kedai bingki ataupun membeli bingkai dan memasangnya sendiri.

Kembali ke | Halaman Afiqah || KidWeb || Ikan |